sekadar untuk perkongsian....
Saturday, July 26, 2008
MANDI WILADAH
Soalan; Salam Ustaz. Saya ingin meminta penjelasan tentang mandi Wiladah. Apakah dalil yang disandarkan bagi kewajipan mandi wiladah ini? Adakah ia bermakna seorang wanita yang melahirkan anak perlu mandi dua kali; mandi wiladah dan mandi nifas?
Jawapan;
Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya berupa segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi. Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (kitab Fiqh mengikut mazhab Syafi’ie), pengarangnya menjelaskan; “Kemungkinan berlaku kelahiran tanpa diikuti dengan keluarnya darah. Maka hukumnya ketika itu sama seperti hukum janabah (yakni hukum keluarnya mani iaitu wajib mandi) kerana bayi adalah hasil percampuran dari air mani lelaki dan air mani wanita. Tidak ada beza pada hukum tersebut sekalipun berbeza rupa kandungan yang dilahirkan atau cara kelahirannya. Namun jika kelahiran diikuti dengan keluarnya darah –sebagaimana yang biasa berlaku-, maka darah itu dinamakan nifas dan ia tertakluk dengan hukum-hakam nifas” (Jil. 1, hlm. 82).
Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya (Lihat; al-Majmu’, 2/168). Berkata Imam Ibnu Qudamah (salah seorang ulamak mazhab Hanbali) dalam kitabnya al-Mughni; “Yang soheh ialah tidak wajib mandi ke atas wanita dengan sebab wiladah kerana suatu kewajipan hanya sabit dengan nas (dalil) Syarak. Dalam masalah wiladah ini tidak ada nas Syarak yang mewajibkan mandi dan juga tidak ada pengertiannya dalam nas. Ini kerana bayi yang dilahirkan bukanlah darah dan bukan juga mani, sedangkan yang terdapat di dalam nas (dalil) Syarak; perkara yang mewajibkan mandi ialah dua sebab tersebut (yakni keluar darah dan keluar mani)” (al-Mughni, 1/165).
Wallahu a’lam.
| Tarikh Hantar Soalan | : | 21/04/2009 11:38 AM | ||
| Soalan | : | Saya ingin mengatahui tentang Mandi Wiladah seperti niat, bilakah waktu mandi Wiladah, cara-cara mandi Wiladah. Adakah mandi Wiladah sama dengan mandi hadas besar? Bolehkah Mandi Wiladah dan Mandi Hadas Besar - Nifas disekalikan?. | ||
| Jawapan | : | Mandi wiladah ialah mandi selepas melahirkan anak samaada keluar darah atau pun tidak. Hukum mandi wiladah adalah wajib kerana wiladah merupakan salah satu perkara yang menyebabkan mandi wajib. . Sekiranya tidak tahu adalah dimaafkan tetapi apabila sudah mengetahuinya perlulah melakukannya. Niat ,mandi wildah ialah: Sahaja aku mandi wiladah kerana Allah Taala. Tidak boleh dikumpulkan mandi-mandi tersebut dengan niat yang satu kecuali terlupa.. | ||
| Status | : | Selesai - Paparan Web. | ||
| . | Nombor Rujukan | : | PANEL SJAI 220409 | |
| Tarikh Selesai | : | 22/04/2009 11:30 AM |
Nota:
1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.
3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.






0 comments:
Post a Comment